Hidupkan usrah!USRAH!usrah!Jasamu akan dikenang sentiasa duhai Hasan Al-Banna..

Hidupkan usrah!USRAH!usrah!Jasamu akan dikenang sentiasa duhai Hasan Al-Banna..
Tegakkanlah kalimah ALLAH di muka Bumi yang penuh fatamorgana ini..La Ilaha Illallah,Muhammad Ya Rasulullah Ya Habiballah...

Search This Blog

Thursday, March 18, 2010

Mesej: Surat cinta!!

“Anda melihat manusia membaca al-Quran dengan cepat. Mereka membaca huruf-huruf al-Quran dengan suara yang baik (sebutan) yang baik. Mereka berdebat tentang baris di bawah, di hadapan dan baris di atas seakan-akan mereka sedang membaca syair-syair Arab. Merenungi maksud al-Quran serta mengamalkannya menjadi tidak penting bagi mereka. Adakah dalam dunia ini wujud keadaan terpedaya yang lebih daripada itu?” (Ihya Ulumuddin, Imam al-Ghazali (terjemahan Prof. TK. H. Ismail Yakub MA), Pust. Nasional, 1981, Singapura, jil 6 hal 34)

Di musim Ramadan ini ramai yang mengaji, bertadarus atau membaca al-Quran. Ia sememangnya satu amalan yang baik yang mendatangkan pahala, insya-Allah. Namun siapakah yang sebenarnya membaca al-Quran di sisi Allah?

Berhubung dengan ini Allah berfirman,
“Dan mereka yang telah Kami berikan Kitab kemudian mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya, mereka itulah yang beriman dengannya. Barang siapa yang ingkar terhadapnya mereka itulah orang-orang yang rugi.” (Surah Al-Baqarah ayat 121)

Dalam ayat ini Allah menegaskan bahawa mereka yang benar-benar membaca Kitab Allah ialah mereka yang membacanya ‘haqqa tilaawatih’. Siapakah mereka itu? As-Syeikh Said Hawa di dalam Al-Asas fit Tafsir mendatangkan pendapat sahabat Abdullah ibn Masud ra yang berkata:


“Demi Allah, maksud membaca Kitab dengan bacaan yang sebenarnya (iaitu haqqa tilaawatih) ialah menghalalkan apa yang dihalalkannya, mengharamkan apa yang diharamkannya, membaca seperti mana ia diturunkan Allah, tidak mengubah kalam Tuhan dari tempatnya dan tidak mentakwilkan ayat-ayatnya secara yang tidak betul.”

Untuk tujuan ini kita perlu memahami apa yang kita baca dan bukan sekadar membaca, mengaji dan bertadarus begitu sahaja. Allah berfirman,
“Apakah mereka tidak tadabur al-Quran? Sekiranya al-Quran itu bukan dari sisi Allah tentulah mereka akan mendapati percanggahan yang banyak di dalamnya.” (Surah An-Nisak ayat 82)
Ketika menerangkan maksud ayat ini, Imam Ibn Kathir di dalam Tafsir al-Quran al-Azim berkata, “Allah mengarahkan mereka agar mengamati isi-isi al-Quran dan melarang mereka dari berpaling daripadanya. Allah juga mengarah mereka agar memahami maksud ayat-ayat al-Quran yang begitu halus lafaznya serta dipenuhi kebijaksanaan”.

Ramai dari kalangan umat Islam di Nusantara pada hari ini lebih mengutamakan pembacaan al-Quran mengikut tajwid yang betul tanpa banyak memberi tumpuan kepada kefahaman ayat, sedangkan Allah menghendaki umat Islam memahami dan mengkaji isi-isi Al-Quran. Apabila mesej al-Quran dapat difahami dengan betul, barulah penghayatan akan dapat dilaksanakan dengan baik.

Selamat MENGAJI dan MENGKAJI

Sumber : Dr Danial