“Anda melihat manusia membaca al-Quran dengan cepat. Mereka membaca
huruf-huruf al-Quran dengan suara yang baik (sebutan) yang baik. Mereka
berdebat tentang baris di bawah, di hadapan dan baris di atas
seakan-akan mereka sedang membaca syair-syair Arab. Merenungi maksud
al-Quran serta mengamalkannya menjadi tidak penting bagi mereka. Adakah
dalam dunia ini wujud keadaan terpedaya yang lebih daripada itu?” (Ihya
Ulumuddin, Imam al-Ghazali (terjemahan Prof. TK. H. Ismail Yakub MA),
Pust. Nasional, 1981, Singapura, jil 6 hal 34)
Di musim Ramadan ini ramai yang mengaji, bertadarus atau membaca
al-Quran. Ia sememangnya satu amalan yang baik yang mendatangkan pahala,
insya-Allah. Namun siapakah yang sebenarnya membaca al-Quran di sisi
Allah?
Berhubung dengan ini Allah berfirman,
“Dan mereka yang telah Kami berikan Kitab kemudian mereka membacanya
dengan bacaan yang sebenarnya, mereka itulah yang beriman dengannya.
Barang siapa yang ingkar terhadapnya mereka itulah orang-orang yang
rugi.” (Surah Al-Baqarah ayat 121)
Dalam ayat ini Allah menegaskan bahawa mereka yang benar-benar membaca
Kitab Allah ialah mereka yang membacanya ‘haqqa tilaawatih’. Siapakah
mereka itu? As-Syeikh Said Hawa di dalam Al-Asas fit Tafsir mendatangkan
pendapat sahabat Abdullah ibn Masud ra yang berkata:
“Demi Allah, maksud membaca Kitab dengan bacaan yang sebenarnya (iaitu
haqqa tilaawatih) ialah menghalalkan apa yang dihalalkannya,
mengharamkan apa yang diharamkannya, membaca seperti mana ia diturunkan
Allah, tidak mengubah kalam Tuhan dari tempatnya dan tidak mentakwilkan
ayat-ayatnya secara yang tidak betul.”
Untuk tujuan ini kita perlu memahami apa yang kita baca dan bukan
sekadar membaca, mengaji dan bertadarus begitu sahaja. Allah berfirman,
“Apakah mereka tidak tadabur al-Quran? Sekiranya al-Quran itu bukan dari
sisi Allah tentulah mereka akan mendapati percanggahan yang banyak di
dalamnya.” (Surah An-Nisak ayat 82)
Ketika menerangkan maksud ayat ini, Imam Ibn Kathir di dalam Tafsir
al-Quran al-Azim berkata, “Allah mengarahkan mereka agar mengamati
isi-isi al-Quran dan melarang mereka dari berpaling daripadanya. Allah
juga mengarah mereka agar memahami maksud ayat-ayat al-Quran yang begitu
halus lafaznya serta dipenuhi kebijaksanaan”.
Ramai dari kalangan umat Islam di Nusantara pada hari ini lebih
mengutamakan pembacaan al-Quran mengikut tajwid yang betul tanpa banyak
memberi tumpuan kepada kefahaman ayat, sedangkan Allah menghendaki umat
Islam memahami dan mengkaji isi-isi Al-Quran. Apabila mesej al-Quran
dapat difahami dengan betul, barulah penghayatan akan dapat dilaksanakan
dengan baik.
Selamat MENGAJI dan MENGKAJI
Sumber : Dr Danial